Tuesday, 18 February 2014

Filled Under:

Budaya LGBT Adalah Syarat Utama Untuk Sesebuah Negara Dianggap Demokratik?

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad membidas negara Barat kerana memaksa negara lain menerima budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai syarat untuk dianggap sebagai negara demokratik.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, demokrasi pada pandangan mereka waktu ini bukan setakat memilih kerajaan melalui undi majoriti tetapi juga harus menerima kebebasan tersebut.

Tidak hairanlah ada seorang pemimpin pembangkang yang beria-ria menjadi perdana menteri Malaysia menyokong LGBT

"Bagi mereka, demokrasi mesti termasuk LGBT, maka ini adalah kelayakan tambahan untuk menjadi negara demokrasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pengajian Keamanan Global Mahathir (MGPS) di Institut Hubungan Luar dan Diplomasi di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Naib Presiden Indonesia, Yusuf Kalla.

Dr. Mahathir berkata, kelayakan tambahan tersebut kini sedang dipaksakan oleh Barat terhadap negara Islam termasuk mahu pemimpin yang menyokong kebebasan berkenaan.

"Kita boleh terima demokrasi iaitu memilih pemimpin dengan mengundi tetapi jangan memaksa kita untuk mengatakan kita bebas berjalan telanjang sebagai hak kebebasan," katanya.

Beliau berkata, demokrasi perlu mempunyai nilai toleransi seperti diamalkan di Malaysia apabila pelbagai kaum menghormati budaya dan pandangan kaum lain.

Katanya, mungkin demokrasi adalah sistem terbaik ketika ini tetapi ia tidak boleh dipaksakan untuk diamalkan ke atas sesebuah negara.

"Masalah di dunia sekarang, negara Barat memaksa semua orang mesti menjadi demokratik dan jika tidak mereka akan dibunuh," katanya.

Beliau berkata, negara Barat ketika ini mahu melakukan perubahan rejim terhadap negara-negara Islam agar menjadi pro-Amerika Syarikat.

"Di Syria, Malaysia dan di mana-mana negara sekali pun, Barat mahukan supaya kerajaan pro-Amerika. Kalau kita nak kerajaan pro-Amerika undilah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Mengenai pelantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak, Dr. Mahathir berkata, langkah tersebut sememangnya sudah dijangka sejak dahulu.

"Memanglah, dulu pun apabila Adenan berhenti menjadi menteri, kita punya pendapat ialah dia akan menjadi Ketua Menteri Sarawak dan sekarang ini sudah berlaku," katanya. - Utusan Malaysia




0 comments:

Post a Comment