PUCHONG – Baru-baru ini seorang sahabat baik Che Lijoh pergi melancong ke Beijing, China. Pakej pelancongannya selama enam hari ke sana memang murah dan sahabat itu sangat teruja hendak ke negara tembok besar tersebut.
Sebelum sahabat itu pergi bersama isterinya, Che Lijoh memang ada pesan kepadanya supaya berhati-hati sedikit.
Ini kerana banyak benar kisah pelancong Malaysia yang kena tipu di sana.
“Kalau nak ke China, jaga-jaga sikit dengan pemandu teksi di sana. Mereka suka bagi duit palsu. Nak senang bagi duit cukup-cukup je,” kata Che Lijoh kepada sahabat terbabit.
“Oh ye ke, terima kasihlah kerana beri info. Kami akan berhati-hati,” jawabnya.
Dipendekkan cerita, mereka pun pergi dan selamat tiba di sana. Sebaik sampai, mereka terus melawat tempat-tempat menarik.
Banyak juga gambar-gambar yang diambil di sana dikongsikan dengan Che Lijoh menerusi WhatsApp.
Segalanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan mereka cukup seronok melawat ke tempat-tempat yang telah diatur oleh pemandu pelancong.
Setelah beberapa hari di sana, mereka dibawa pula ke tempat beli-belah di kawasan berhampiran Stadium Olimpik Sarang Burung.
Pelbagai barangan di jual di sana, semuanya menarik belaka dan harganya pula agak berpatutan.
Ketika sedang ronda-ronda, mereka tiba di sebuah kedai menjual mutiara dan batu jed yang amat menarik perhatian.
Jadi mereka pun masuklah untuk melihat jed dan mutiara dengan lebih dekat bersama seorang lagi pasangan yang mengikuti pakej pelancongan itu.
Di kedai tersebut, mereka disambut mesra oleh sekumpulan pekerja.
Malah seorang pemuda yang mengaku sebagai anak kepada pemilik kedai itu juga datang melayan mereka.
Belum apa-apa lagi dia sudah sedia memberi diskaun terbaik buat mereka sekiranya benar-benar berminat untuk membeli.
Bagi memudahkan urusan, lelaki itu telah menjemput mereka memasuki bilik yang lengkap dengan perabot mewah.
“Wah… dahsyatlah layanan dia orang ni. Buat kita macam VIP pulak,” kata sahabat Che Lijoh kepada isteri dan pasangan tadi yang tersenyum lebar.
Sebaik duduk, lelaki berkenaan memulakan sesi penerangan mengenai jenis-jenis mutiara dan batu jed yang dijual dikedainya sambil dibantu beberapa pembantunya yang asyik keluar masuk membawa pelbagai barangan hiasan untuk dilihat oleh pelanggan.
Mula-mula, harga yang ditawarkan memang mahal hingga ada yang melebihi puluhan ribu yuan
Memandangkan harganya yang mahal, maka teman Che Lijoh pun buat-buat tak tahu dan kurang berminat.
Namun, pasangan yang bersama mereka menunjukkan sikap sebaliknya.
Melihat keadaan itu, ‘si anak tauke’ pun meminta pekerjanya mengeluarkan lagi pelbagai jenis batu jed dan mutiara yang cantik-cantik untuk dijual termasuklah ‘koleksi istimewa’ yang tiada di tempat-tempat lain.
“Harga asal set batu jed ini ialah 12,000 yuan. Tapi hari ini saya cukup bermurah hati dan mahu memberi diskaun terbaik buat kamu kerana saya anak tauke.
“Ini hari yang cukup bertuah buat kamu. Okaylah setelah kita berbincang panjang lebar, saya mahu jual set ini 3,000 yuan saja,” kata lelaki berkenaan.
Pada waktu ini, beberapa pekerja kedai berkenaan menunjukkan rasa terkejut.
Ini kerana ‘bos’ mereka itu bagaikan sudah hilang akal kerana memberi potongan harga yang sangat banyak.
Ia membuatkan pasangan terbabit semakin teruja dan benar-benar percaya.
Lantas mereka tanpa berfikir panjang mengeluarkan wang 3,000 yuan (RM1,500) untuk membayar harga set batu jed berkenaan.
Setelah selesai membeli, teman Che Lijoh dan pasangan terbabit pun beredar dan kembali ke hotel penginapan yang turut dihuni oleh beberapa kumpulan lain pelancong dari Malaysia.
Di situlah mereka saling bertukar-tukar cerita mengenai pembelian batu jed yang ‘cantik dan murah’ itu.
Namun sebaik cerita batu jed dan mutiara dibuka oleh seorang demi seorang, masing-masing bagaikan terkedu.
Apa tidaknya, mereka rupa-rupanya telah melalui pengalaman dan kisah cerita yang sama dan mula rasa sangsi.
Bagi mereka yang rasional, mereka telah sedar dari lamunan bahawa mereka sebenarnya telah ditipu oleh ‘si anak tauke’ dan pekerjanya yang licik itu.
Bagaimanapun, bagi yang ego, mereka masih tidak percaya dan buat-buat tidak kisah kerana malu jadi mangsa penipuan melibatkan kerugian ribuan ringgit.
Pada masa sama, ada juga yang terus bergegas ke pusat beli-belah berhampiran untuk membuat tinjauan harga.
“Pasangan yang beli batu jed RM1,500 tadi pun pergi tengok harga kat kedai biasa, rupa-rupanya harga batu jed yang dia beli tu murah je. Dalam RM100 ke RM200 je,” kata teman Che Lijoh lagi.
Bagi pelancong yang lebih berani, mereka sanggup pergi semula ke kedai di Staidum Olimpik itu untuk memulangkan semula batu jed dan mutiara yang dibeli.
Ada yang berjaya dapatkan semula wang selepas bertekak habis-habisan dengan pekerja kedai tadi.
Bagaimanapun, bagi yang kurang kemahiran berkomunikasi dan psikologi, mereka pulang hampa dan terpaksa menyimpan terus barang perhiasan yang dibeli.
Ada juga pembeli yang mahu ke kedai berkenaan semata-mata untuk berdepan dengan ‘si anak tauke’ namun semuanya sudah terlambat kerana lelaki dalang itu sudah lesap lebih awal.
Melihat keadaan itu, teman Che Lijoh rasa insaf kerana kasihan melihat ramai pelancong Malaysia ditipu bulat-bulat oleh si penjual batu jed dan mutiara itu.
Namun pada masa sama, teman Che Lijoh juga rasa bersyukur kerana dia terselamat daripada jadi mangsa penipuan.
P/S: Che Lijoh tak kira, Che Lijoh nak melancong ke China juga
0 comments:
Post a Comment