Koresponden penerbangan saluran berita CNN, Richard Quest mempertahankan cara Malaysia mengendalikan kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan menganggap kes kehilangan itu sebagai yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Dalam beberapa tweet dari akaun beliau @RichardQuest, beliau berkata biarpun ada beberapa kesilapan dilakukan tetapi petunjuk dan cara kehilangan pesawat MH370 itu berlaku adalah terlalu unik.
“Ada kesilapan telah dilakukan dalam siasatan MH370 oleh pihak berkuasa Malaysia tetapi kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah.
“Kerjasama dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan (NTSB), Agensi Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Biro Siasatan Kemalangan Penerbangan (AAIB) amat dihargai kerana membantu Malaysia.
“Ia adalah tidak sesuai untuk mencadangkan hanya negara dari dunia pertama sahaja layak mengetuai siasatan kejadian MH370, bagi Malaysia kejadian yang menimpa mereka adalah unik,” katanya dalam tweetnya awal hari ini.
Quest berkata tidak masuk akal manusia yang waras yang mampu berfikir pesawat MH370 boleh terbang sejauh itu menyimpang dari laluan penerbangan asal ke Beijing pada 8 Mac lepas.
“Kerajaan Malaysia tetap akan dikritik jika mendedahkan maklumat berkenaan atau jika mereka menyembunyikan maklumat itu,” katanya.
Pesawat MH370 pada hari kejadian membawa 227 orang penumpang dan 12 anak kapal.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pesawat berkenaan telah mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi. – MYNEWSHUB.MY
0 comments:
Post a Comment