Friday 28 March 2014

Filled Under:

MH370: Ubah Lokasi…AMSA Nafi SAR Di Lokasi Awal Membazir

OrionBerlepas

PIHAK berkuasa Australia menafikan tuduhan sesetengah pihak mendakwa pencarian di kawasan selatan Lautan Hindi sebelum ini adalah membazir selepas mereka kini bertukar ke lokasi pencarian baru.
Sebelum ini Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah pun menjalankan operasi mencari di kawasan selatan kira-kira 2,500km barat daya Perth selama 11 hari.
Bagaimanapun, tiada serpihan yang berjaya ditemui atau dibawa balik sepanjang tempoh pencarian itu.
Menurut laporan Channel News Asia, hasil data analisis satelit baru operasi mencari telah berpindah ke lokasi baru lebih hampir dengan Perth yang disifatkan sebagai kemungkinan besar kawasan pesawat MH370 mengakhiri penerbangannya.
“Lokasi kini ialah yang paling terbaik untuk kita meneruskan operasi mencari,” kata Ketua AMSA John Young ketika ditemui pemberita di Canberra mengumumkan berkenaan kawasan operasi mencari yang baru.
Ia terletak kira-kira 1,100km ke arah barat laut dari lokasi lama.
Young berkata, perubahan lokasi adalah biasa dalam operasi seperti pencarian MH370 ini dan operasi terdahulu juga tidak dianggap membazir biarpun aset seperti pesawat dan kapal telah digunakan untuk ke lokasi lebih jauh sebelum ini.
“Sebenarnya bukannya luar biasa untuk satu misi mencari dan menyelamat (SAR), ia sebenarnya berlaku kepada kami setiap masa operasi sebegini dilakukan.
“Ia sesuatu yang biasa dalam misi SAR, apabila ada maklumat baru, kita akan membuat analisis dan kemudian kita akan mengubah lokasi, saya tidak melihat operasi di lokasi terdahulu sebagai satu langkah yang membazir masa,” kata Young.
Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) Martin Dolan berkata lokasi baru pencarian MH370 adalah berasaskan analisi data dari radar berkenaan pergerakan pesawat berkenaan antara Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum ia terputus hubungan.
“Analisis ini menunjukkan pesawat berkenaan terbang lebih laju daripada anggaran sebelum ini, yang membawa kepada pembakaran lebih bahan api pesawar berkenaan, sekaligus menjadikan jaraknya lebih pendek ketika ia terbang di Lautan Hindi,” katanya.
Menurut Dolan, pasukan penyiasat antarabangsa terus membuat analisis berkenaan yang akan memberikan gambaran lebih jelas di mana lokasi sebenar pesawat MH370 berada. – MYNEWSHUB.MY




0 comments:

Post a Comment