PIHAK syarikat Malaysia Airlines (MAS) membuat kesimpulan bahawa pesawat MH370 telah terhempas di Lautan Hindi berdasarkan lokasi terakhir ia dikesan satelit dan juga kandungan minyak yang ada di dalam pesawat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ahmad Jauhari Yahya berkata dengan bekalan minyak yang sedikit tambahan pula ketiadaan landasan terdekat untuk pesawat MH370 mendarat, menjadikan ia satu faktor yang kuat untuk membuat kesimpulan pesawat itu telah terhempas.
Beliau menjawab soalan media yang meminta bukti kukuh apakah digunakan pihak MASsehingga boleh membuat kesimpulan kesemua 239 penumpang termasuk anak kapal telah terkorban.
“Lokasi terakhir dikesan pesawat MH370 ialah di kawasan selatan Lautan Hindi, pesawat itu sudah hampir kehabisan minyak pada saat itu.. Jika ia mahu terbang lebih jauh tiada landasan mendarat berhampiran.
“Saya rasa pihak kita (MAS) boleh buat kesimpulan bahawa pesawat itu sudah pun terhempas di lautan,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWCT) hari ini.
Beliau berkata kawasan perairan berkenaan adalah satu kawasan yang terpencil dengan keadaan ombak laut yang kerap bergelora.
“Kawasan itu (Lautan Hindi) sangat terpencil dan hari ini sudah masuk hari ke-18.. Untuk sesiapa terselamat dalam keadaan lautan bergelora seperti itu adalah amat tipis,” katanya.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman bahawa berdasarkan analisis data satelit yang baru, pesawat MH370 disahkan mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi. – MYNEWSHUB.MY
0 comments:
Post a Comment