KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan percubaan menutup misteri kehilangan pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu, lapor New Straits Times.
Pihak Washington berkata, tuduhan yang tersebar di media sosial yang mengatakan AS terlibat dalam misteri tersebut merupakan ‘teori konspirasi yang tidak berasas’.
Menerusi sebuah kenyataan yang diemel kepada akhbar tersebut, pihak Kedutaan AS turut berkata bahawa dakwaan pesawat MH370 sedang disembunyikan di pangkalan tentera Diego Garcia, adalah satu tuduhan yang liar.
“Ini adalah teori konspirasi yang tidak berasas dan telah pun didedahkan seluruh dunia, dan Setiausaha White House telah pun memaklumkannya secara terperinci pada 18 Mac,” kata jurucakap kedutaan AS, Harvey Sernovitz yang dipetik dari New Straits Times.
Sebuah teori telah mengatakan bahawa seorang penumpang AS, Philip Woods telah memuatnaik gambarnya menerusi telefon bimbitnya, dimana gambar tersebut dikatakan dikesan diambil di Diego Garcia.
“Laporan ini palsu sama sekali. MH370 tidak mendarat di Diego Garcia. Ini teori konspirasi tidak berasas,” kata Sernovitz.
Selain itu, AS turut menafikan dakwaan bahawa mereka telah menyembunyikan maklumat dari Kuala Lumpur yang dikatakan boleh membantu siasatan.
Katanya AS merupakan antara yang pertama memberi respon dan yang pertama sampai di Malaysia bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Saya galakkan kamu bertanya sendiri kepada kerajaan Malaysia untuk menerangkan mengenai bantuan yang telah diterima dari kerajaan AS dan syarikatnya,” tegas Sernovits.
Dalam pada itu, AS juga berjanji akan terus membekalkan bantuan dari segi maklumat, analisis, teknikal, penyiasatan dan pencarian seperti yang diminta oleh kerajaan Malaysia.
Menurutnya, fokus pihak AS adalah sentiasa untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Di bawah kerjasama Malaysia dan Australia, kapal tentera laut AS, 7th Fleet sedang bekerjasama dengan 26 lagi buah negara untuk mengesan pesawat tersebut.
0 comments:
Post a Comment