Calon timbalan presiden PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau bukanlah “pak turut” kepada apa saja yang dikatakan oleh Ketua Umum Parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini calon presiden parti dalam pemilihan PKR menentang penyandang yang juga isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail.
Bukan semua cadangan Anwar diterima bulau-bulat, tegas Menteri Besar Selangor itu.
“Ada cadangan Anwar yang saya boleh terima dan ada juga cadangan dia yang saya dengar tapi tak terima.
“Walaupun saya rapat dengan Anwar tetapi saya tak dengar cakap Anwar 100 peratus walaupun dia nampak seolah-olah saya sedang mendengar,” katanya pada program kasih bertaut di rumah pangsa Sri Gemilang, Mergong, Alor Setar, Kedah, Ahad.
Menurut Khalid, tindakan itu bukan satu kesalahan atau kebiadaban tetapi menunjukkan sikap seorang pemimpin yang boleh menerima cadangan dan kritikan.
“Dalam kepimpinan kita mesti ada orang yang boleh berbincang dan bukan jadi pak turut saja.
“Saya rasa, Anwar perlu ada rakan-rakan seperti itu dan kita mesti ada keseimbangan untuk mentadbir,” tegas Khalid.
Bagaimanapun, Khalid tetap seorang ahli politik apabila turut mengeluarkan kenyataan selamat dengan memuji Anwar sebagai seorang pemimpin yang sangat cekap dalam berpolitik.
“Saya juga nak menyumbang pengalaman saya dan apa yang saya lakukan di Selangor untuk parti. Itu yang saya mahu dan rasa boleh jadi gandingan dengan Anwar dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Siapa saja jadi Presiden PKR, saya tiada masalah sebab kami boleh bergandingan. Saya ada pengalaman mentadbir, pengurusan harta dan tenaga manusia manakala Anwar pula cekap dalam politik.
“Keseimbangan ini boleh membantu kita tawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang,” katanya yang turut melawat ke Kulim, Kedah hari ini.
Semalam, seorang lagi calon timbalan presiden PKR yang juga penyandang, Azmin Ali berkata di Permatang Pauh bahawa PKR perlu mula keluar dari bayang-bayang Anwar.-bnbbc.my
0 comments:
Post a Comment