Ekoran ketegangan yang terpaksa dihadapi dalam misi pencarian Malaysia Airlines MH370, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meluahkan kekecewaan terhadap agensi-agensi antarabangsa dan pengilang Boeing 777-200ER apabila gagal menjelaskan misteri kehilangan pesawat itu.
Pemangku menteri pengangkutan itu berkata dalam satu temubual dengan stesen television China, CCTV, kritikan tidak adil dilontarkan kepada MAS mengenai cara berkomunikasi dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal.
“MAS sentiasa akan melakukan tugas terbaik dalam berinteraksi bersama keluarga.
“Namun meletakkan MAS di kandang saksi masih tidak mencukupi, kita juga perlu sentiasa ingat apakah peranan dan tanggungjawab Rolls-Royce, Boeing dan semua agensi pakar. Apakah pandangan mereka?” katanya dalam temubual bersama CCTV semalam.
Petikan temuramah itu dimuat naik melalui akaun YouTube kepunyaan CCTV.
Pada 8 Mac, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ke Beijing terputus hubungan dengan pengawal trafik udara sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pencarian pesawat itu masuk hari ke-23.
Hishammuddin juga turut mempersoalkan tindakan syarikat penerbangan itu menghantar kiriman pesanan ringkas (SMS) dalam bahasa Inggeris minggu lalu menyatakan tiada penumpang yang terselamat.
“Amat senang untuk kita menyalahkan orang. Saya tidak mempertahankan MAS. Mereka perlu menjawab mengenai SMS itu dan bagaimana mereka berhubung dengan ahli keluarga.
“Tapi pada masa sama, saya mahu melihat agensi antarabangsa turut tampil, kerana kita membayar jutaan ringgit membeli kapal terbang dan kepakaran mereka. Kini teknologi tersebut dipersoalkan seluruh dunia,” katanya.
Boeing dan Rolls-Royce – syarikat yang membekalkan enjin bagi pesawat itu – dilihat tidak membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai kehilangan MH370 itu biarpun difahamkan kedua-dua agensi itu bekerjasama dengan siasatan keselamatan udara Amerika Syarikat.
Minggu lepas, Wall Street Journal melaporkan pihak Amerika Syarikat berkata Boeing menyatakan kekesalan apabila kerajaan Malaysia mengambil masa tiga jam untuk melaporkan kepada wakil syarikat mengenai kehilangan pesawat itu. Tempoh tersebut jauh lebih panjang daripada biasa.
Pasukan Boeing dikatakan “agak kecewa dan tidak mempercayai proses”, menurut seseorang yang biasa dengan pandangan syarikat itu.
Hishammuddin juga berkata Malaysia masih mencari motif jenayah yang mungkin berkaitan dengan kehilangan pesawat seperti pengganas, rampasan oleh anak kapal atau masalah psikologi.
Beliau berkata dalam kenyataan hari ini bahawa pasukan siasatan antarabangsa dan Malaysia masih berpegang pada perjanjian bahawa pergerakan MH370 konsisten dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam pesawat.
“Sehingga saat pesawat itu hilang dari radar tentera, pergerakan MH370 adalah konsisten dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam kapal terbang itu,” katanya. – The Malaysian Insider.
0 comments:
Post a Comment