Menyifatkan mereka berdua mempunyai kualiti tersendiri sepanjang permainan yang memberikan sedikit kelebihan kepada Pilihan Malaysia, Kane mengakui skuad kendalian Dollah Salleh berjaya menghadirkan tentangan yang sengit.
Bagaimanapun, tiada mana-mana pemain tempatan yang berjaya mencuri perhatian penjaring kedua terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2014/2015 itu, yang dilihat tampil bersahaja sepanjang 90 minit namun mampu meledak kedua-dua gol pasukannya.

“Dalam perlawanan tadi, ada dua pemain yang saya tertarik ia­itu yang memakai jersi nombor 10 (Rangel), saya nampak dia cukup bersedia untuk beraksi di peringkat seperti ini.

“Seorang lagi ialah pemain yang bermain di bahagian pertahanan (Thiago), banyak hadangan penting dapat dilakukan dan menyukarkan pergerakan saya.

“Namun, kami dapat menampilkan aksi yang kami mahukan iaitu dengan gerakan satu-dua tiap kali menyerang pihak lawan,” katanya selepas perlawanan kelmarin.
Thiago turut menjaringkan gol tunggal Pilihan Malaysia selepas menanduk cantik sepakan bebas yang dilakukan Indra Putra Maha­yuddin pada minit ke-32.

Bintang penyerang Terengganu dari Brazil, Rangel pula beberapa kali memberikan masalah kepada pertahanan Spurs yang ditunjangi Jan Vertonghen dan Eric Dier.
Kane membuktikan kredibiliti­nya selaku penggempur utama masa depan England apabila meledak dua gol pada minit ke-18 dan 43.

Kane mengakui cuaca yang panas menjejaskan aksi­nya tetapi menganggapnya sebagai pengalaman yang cukup berharga.
“Sepanjang perlawanan saya cukup terasa bahang cuaca panas di sini apabila berpeluh setiap masa,” katanya.