Bagi sebilangan mereka yang sedang enak menonton sebuah drama di RTM2 semalam, hati pasti tersentak apabila melihat satu berita berkaitan perkembangan terkini MH370 yang dikeluarkan di bahagian bawah skrin atau lebih dikenali sebagai rerayap.
Pengumuman itu menyebut bahawa PESAWAT MH370 SAH DIRAMPAS sedangkan hingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi berkaitan perkara ini dibuat oleh mana-mana pihak berkuasa mahu pun media tempatan lain.
Akibatnya, mereka yang terlihat berita ini mula tertanya-tanya sekiranya ini adalah perkembangan terbaru hasil siasatan ke atas pesawat tersebut yang hilang secara misteri sejak 8 Mac lalu.
Bagaimanapun RTM2 menerusi Facebook mereka kemudiannya segera mengeluarkan kenyataan meminta maaf atas kesilapan pengeluaran berita tersebut.
Turut dimaklumkan, siasatan dalaman sedang dijalankan untuk mengenalpasti pihak yang cuai hingga penyebaran berita ini berlaku.
Apakah yang sebenarnya berlaku hingga kesilapan begini boleh terjadi? Mungkinkah ada kakitangan yang terlalu gopoh menyebarkan spekulasi atau ada pihak tertentu saja mensabotaj stesen TV ini?
Apa yang dikhuatiri, kesilapan sebegini pasti menambah spekulasi apatah lagi bila dilakukan oleh media elektronik.
- REM RAMZI MYNEWSHUB
0 comments:
Post a Comment