Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar khas malam ini mengesahkan bahawa MH370 yang hilang sejak 17 lalu sebagai terhempas di Selatan Lautan Hindi.
MH370 disahkan terbang ke koridor selatan dan berakhir di kawasan 2,500 kilometer dari bandar Perth, Australia.
Hasil itu diperoleh melalui analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.
“Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi,” kata Najib dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
“MH370 terbang ke koridor selatan dan posisi terakhir adalah di selatan Lautan Hindi.
“Dengan kesedihan dan kekesalan yang mendalam, saya ingin memaklumkan, dengan data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi,” katanya.
(KLIK DAN BACA – Mengingati Kembali Sebahagian Mereka Di Dalam MH370)
Keluarga penumpang yang terlibat kata beliau telah dimaklumkan mengenai rumusan itu.
Pada peringkat ini, kesemua penumpang dianggap sebagai terkorban dalam tragedi itu.
Jelas beliau, sidang akhbar berkaitan perkembangan baru itu akan dibuat esok bagi memberikan lebih banyak maklumat.
Beliau bagaimanapun meminta pihak media akan menghormati privasi keluarga para penumpang yang terlibat.
Tambah Najib, berita itu pasti menyedihkan pihak keluarga dan beliau meluahkan rasa simpati yang amat kepada semua waris mangsa.
Ketika pengumuman itu dibuat, ramai wartawan yang mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 turut menitiskan air mata.
Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Usaha mencari dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Operasi SAR MH370 disifatkan sebagai yang terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan lebih 27 negara.
0 comments:
Post a Comment